Posted by: msmnorthwest | March 20, 2008

Perutusan Maulud Nabi

PERUTUSAN MAULUD NABI
Majlis Syura Muslimun
12 Rabiul Awal 1429H
maulud.jpg
Assalamualaikum wbt,
Maulud Nabi menjelma lagi buat ke sekian kalinya. 12 Rabiul Awal merupakan tarikh keramat kepada umat Islam di serata dunia yang menandakan hari lahir Rasul terakhir yang membawa risalah keimanan iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Di tanahair sudah menjadi satu kebiasaan hari Maulud Nabi menjadi sambutan kepada umat Islam. Kehidupan dan perjuangan Rasulullah s.a.w. didengarkan kembali melalui ceramah-ceramah dan program-program yang dianjurkan.
Bagi kebanyakan umat Islam di Britain, mungkin suasana 12 Rabiul Awal tidak jauh berbeza dengan hari-hari yang lain. Mungkin tidak ada sambutan khusus untuk menyambutnya. Namun, apakah sambutan itu sendiri yang penting atau penghayatan dan pengajaran yang kita perolehi dari tarikh bersejarah tersebut?
Apapun bentuk sambutan yang dibuat, kita tidak dapat lari daripada mengaitkan kehadiran Maulud Nabi dengan realiti umat Islam pada hari ini. Hakikatnya, umat Islam berada di dalam cengkaman musuh sama ada secara fizikal mahupun melalui penjajahan minda dan ideologi. Umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan beberapa tempat lain terus ditindas dan dizalimi. Dari sudut penjajahan minda dan ideologi, boleh dikatakan hampir semua negara Islam masih terjajah. Sistem pemerintahan masih lagi bertunjangkan ideologi asing manakala kebergantungan ekonomi terhadap dunia luar terus menjadi belenggu yang menjerut leher negara-negara umat Islam. Ini tentulah cengkaman yang lebih besar mudaratnya berbanding dengan penjajahan fizikal semata-mata!
Sebahagian dari umat Islam sudah hilang keyakinan kepada kemuliaan Islam itu sendiri. Apatah lagi apabila sebahagian pemimpin umat Islam mengabaikan amanah dan tanggungjawab untuk memerintah dengan adil dan saksama. Gejala penyalahgunaan kuasa, rasuah, kemiskinan, prestasi hak asasi yang mencurigakan, tahap literasi yang rendah, golongan wanita yang tertindas masih lagi menjadi isu-isu yang menghambat dunia Islam. Walaupun seruan-seruan untuk kembali kepada ajaran Islam semakin kuat kedengaran, namun seruan-seruan untuk meninggalkan ajaran Islam dengan suntikan jarum yang halus terus dibuat bertalu-talu. Budaya cintakan kebendaan dan hiburan terus disuburkan. Golongan muda-mudi dihanyutkan dengan keseronokan hiburan dan gaya hidup bebas. Mungkin inilah yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai penyakit “wahan” iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.
Pada masa yang sama, gejala Islamophobia yang melanda serata dunia selepas berlakunya tragedi 11 September 2001 kian menampakkan pertembungan di antara paksi kebenaran dan paksi yang batil. Media-media utama terus mengaburi mata masyarakat dunia lantas Islam dikaitkan dengan terrorisme dan lain-lain label yang membawa konotasi yang negatif. Negara-negara umat Islam yang tidak mahu tunduk dengan kuasa Barat dilabelkan sebagai negara pengganas lantas menjadi justifikasi untuk ditakluk kononnya di atas dasar pembebasan dan keadilan sejagat.
Dengan tibanya Maulud Nabi kali ini, marilah kita menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. dengan meningkatkan keyakinan dan iltizam untuk beramal dengan Islam. Hanya dengan cara inilah Islam dapat dikembalikan ke era kegemilangan. Sesungguhnya tidak ada yang lebih mulia melainkan Islam yang dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Namun tidak ada jalan pintas untuk bangkit semula. Umat Islam mestilah memulakan perubahan dari dalam diri dan keluarga mereka sendiri sesuai dengan peringatan Allah swt di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kamu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri” (Ar-Rad:11).
Umat Islam tidak ada pilihan melainkan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan mengambil iktibar dari perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda dengan mencontohi akhlak, keperibadian, kepimpinan, ketokohan dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh mereka. Bukankah generasi para sahabat telah diiktiraf oleh Allah swt sebagai generasi yang terbaik?
Bagi pelajar Malaysia di United Kingdom, marilah kita memanfaatkan peluang dan amanah yang diberikan oleh rakyat Malaysia untuk mengembangkan potensi yang ada di dalam diri kita dengan sebaik-baiknya sesuai dengan ajaran Islam. Pelajar Malaysia di UK tidak boleh selesa berada di dalam kepompong mereka sendiri sebaliknya peluang yang ada perlulah dimanfaatkan untuk meningkatkan jatidiri dengan penglibatan di dalam aktiviti persatuan, menghadiri program-program bukan akademik yang berfaedah, mengembara dan pelbagai aktiviti lain.
Kita berharap Maulud Nabi tidak sekadar menjadi satu hari yang disambut secara tahunan sebagai adat dan kebiasaan semata-mata tanpa penghayatan perjuangan Rasulullah s.a.w di dalam konteks yang sebenarnya. Malah lebih dari itu kita berharap umat Islam akan bangkit dan bersatu di atas dasar ukhuwwah untuk memartabatkan kedudukan Islam sebagai satu kuasa yang disegani di mata dunia.
Ust Dr Isa Hamzah
Ameer MSM UK & Eire
12 Rabiul Awal 1429H

Leave a response

Your response:

Categories