Posted by: msmnorthwest | April 20, 2008

Setiap saat aku di Andalusia…

Al-Hambra

Di tengah kesibukan kota Granada
Kini terbina indah sebuah menara
Setelah lima ratus tahun menunggu
Akhirnya azan terdengar di situ

Suara itu kembali bergema
Mengajak sujud pada Yang Esa
Bersihkan segala debu dan noda

Yang terpalit di kubah Al-Hambra

Al-Hambra
Singgahsanamu pernah bersinar
Al-Hambra
Indralokamu merah bercahaya
Dengan cahaya iman dan taqwa

Terdengar azan di kota lama
Gemersik di seluruh buana
Nyalakan cinta yang membara
Perjuangan yang tiada sudahnya

Sejarah seringkali bertandang
Tamadun silam kembali gemilang
Bangun Granada dan Cordova
Teguhkan istana Al-Hambra

Al-Hambra
Singgahsanamu pernah bersinar
Al-Hambra
Indralokamu merah bercahaya
Umat silam membina empayar
Kegemilangan

Al-Hambra ..Al-Hambra
Andalusia oh Al-Hambra

Al-Hambra
Singgahsanamu pernah bersinar
Al-Hambra
Indralokamu merah bercahaya
Bagunlah Granada berdirilah Kordova
Teguhkan kembali istana Al-Hambra
Suburkan semangat Andalusia
Subur semula…..Al-Hambra

www.liriknasyid.com

“Kiranya pesona Al-Hambralah yang menarikmu ke Andalusia?” terdetik soalan itu ke minda. Sejauh mana aku ke Andalusia ini kerana Allah? Sejauh mana keikhlasan aku untuk menegakkan Islam? Adakah pemergianku ini berada dalam kebarakahan dan keredhaan Allah? Soalan itu kerap kali bergema, beralun mengikuti setiap langkah kakiku menuju ke Manchester Airport.

Aku menyelam ke hati, mencari-cari jawapan. Kenapa tidak ku temui lagi jawapannya? Ya Allah, benarkah keputusanku ini? Sahihkah tindakanku ini? Jangan Ya Allah, jangan Kau jadikan perjalananku ini satu bentuk istidraj ke atas diriku. Biarlah perjalananku ini dipenuhi rasa rendah diriku kepadaMu. Biarlah perjalananku ini menjadi satu titik tolak permulaan dakwah dalam hidupku. Biarlah perjalananku ini menjadi aset utamaku untuk menambah iman. Biarlah…

“Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi lalu memperhatikan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu lebih hebat kekuatannya daripada mereka dan (lebih banyak) bekas-bekas mereka di muka bumi, maka Allah mengazab mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan mereka tidak mempunyai seorang pelindung dari azab Allah.” surah al-Mu’min:21

“Kenapa tak ke Paris atau negara-negara eropah yang lain? Kenapa Andalusia? Kenapa?” aku tersenyum. Betapa mahalnya jawapan untuk soalan itu sahabatku. Kau tak faham apa yang aku faham. Kau tak faham kenapa aku memilih jalan dakwah. Kau tak faham kenapa maruah Islam diinjak-injak oleh kufar. Kau tak faham sahabatku. Nanti akan aku ceritakan satu persatu. Tapi kini, izinkan aku berada dalam dunia khayalan Andalusiaku…..

Ya, dulu aku kepingin ke Andalusia kerana pesona Al-Hambra. “Jadi, apa yang telah terjadi sekarang? Adakah Al-Hambra telah pudar pesonanya?” Aku tersenyum lagi. Tidak sahabatku. Malah, Al-Hambra semakin bersinar di hatiku. Namun, sejarah Andalusialah yang menarikku ke sana. “Sejarah?” Ya, sejarah yang tersembunyi.

Pertama kali aku menjejakkan kaki ke Andalusia, atau lebih tepat lagi bandar Malaga. Bandar yang menyambutku dengan hambar. Bandar yang penduduknya melihatku seperti orang asing dari planet dan galaksi lain. Bandar yang membuatku teringat akan hadith Rasulullah S.A.W:

“ Islam datang dalam keadaan dagang, dan akhirnya juga dalam keadaan dagang. Maka, beruntunglah sesiapa yang menjadi dagang.”

Hatiku sayu bila mengenangkan betapa kehadiran aku di situ tidak disenangi. Lontaran pandangan yang tidak dapat ditafsirkan. Mungkin mereka benci atau mungkin juga mereka pelik memikirkan apakah tujuan seorang muslim ini datang ke negaranya.

Aku menaiki tren menuju ke stesen Malaga Renfe untuk menghala ke bus station Malaga, stesen Maria Zambrano. Sepanjang perjalanan dalam tren, aku melihat dinding-dinding bangunan di situ yang dipenuhi contengan yang tidak menambahkan iman. Bandar ini sangat teruk dengan gejala vandalismenya, hatiku berbisik perlahan. Malaga juga sedang sibuk dengan proses pengubahsuaian dan penambahbaikan menjadikan suasana sekitar agak berdebu dan kotor.

Cuaca yang agak panas menyebabkan tubuhku mulai berpeluh. Tinggal di negara beriklim sejuk telah memanjakan diriku dan setelah berbulan tubuhku tidak berpeluh, nah berpeluh juga sekarang. Aku sampai juga ke stesen bas Malaga dengan bantuan seorang wanita tua yang kecoh berbicara sedangkan sebutir pun aku tidak faham.

Sekitar jam 1 petang, aku bertolak ke bandar Seville dengan bas yang telah aku beli tiketnya sebelum bertolak dari Manchester. Dalam perjalanan itu, aku kembali merenung ke hati. Cuba untuk membetulkan niatku agar perjalanan ini dikurniai rahmatNya. Aku memandang ke luar tingkap, memerhatikan rumah-rumah yang terbina di atas bukit-bukau. Adakah masyarakat di sini tidak rajin bersosial sehingga rumah yang dibina pun berjauhan antara satu sama lain? Aku mengeluh perlahan…

Dek kerana tubuh yang kepenatan, aku tertidur sepanjang perjalanan itu. Berlayar sebentar ke dunia khayalan Andalusiaku. Aku lihat kerajaan Islam tertegak di Andalusia. Khalifah mengamalkan sistem pemerintahan bertunjangkan keadilan. Semakin hari semakin ramai yang memeluk Islam. Lalu, Andalusia melebarkan sayapnya ke benua Asia dan Afrika. Setiap rakyat tertunai haknya. Setiap wanita terbela maruahnya. Setiap lelaki termerdeka jiwanya. Setiap hati tertunduk akan keesaanNya. Setiap wajah dihiasi senyumannya. Dan….aku…

Tiba-tiba aku terjaga. Aduhai, mimpi rupanya. Ku kira kenyataan. Aku tersenyum. Wahai diri dan hati, bukan semudah itu untuk Islam kembali menjulang. Kau perlu berusaha dan terus berusaha. Janji Allah itu pasti tetapi adakah kau sendiri berpegang kepada janjimu sebagai khalifah?

Aku turun menjejakkan kaki ke bumi Seville. Ucapan hamdalah bergema dalam diri. Aku menaiki tram ke stesen Achivo de Indias. Kelihatan beberapa kereta kuda untuk membawa pelancong tersadai di tepi jalan. Ah, aku ke sini bukan untuk melancong. Maka, aku tidak layak untuk menaiki kereta kuda yang hanya menyeksa haiwan itu. Tambahan lagi dengan harga 40 euro sebuah kereta kuda, membantutkan terus niatku.

Di bandar itu, aku melawat Al-Carez dan Giralda. Dua bangunan Islam yang telah dikristiankan. Di Giralda, terdapat satu menara azan yang kini telah diubah suai dan diletakkan loceng. Ketika aku berdiri berdepan dengan bangunan itu, loceng itu sedang dibunyikan dengan ghairahnya. Entah mengapa hatiku tiba-tiba pilu. Bilakah aku akan mempunyai kekuatan untuk menghentikannya dan menggantikannya dengan laungan azan yang menusuk kalbu dan menenangkan setiap hati yang mendengarnya? Ya Allah….

Aku tidak sempat untuk ke Plaza Espana. Dataran yang dihiasi jubin-jubin besar dengan lukisan yang menghina Islam. Sengaja dipaparkan detik-detik kejatuhan kerajaan Islam ketika itu. Sengaja ditontonkan saat-saat kemenangan tentera Kristian. Kemenangan yang berpunca dari kekhilafan umat Islam sendiri. Aku tersenyum lagi, namun senyuman yang berintikan hempedu. Pahit dan tawar.

Selepas itu, aku terus bergegas ke stesen tren Santa Justa untuk bertolak ke Cordoba. Di dalam tren, aku mengulangkaji usul 20 yang dibentangkan Ustaz Mazrol di Spring Camp. Sengaja untuk mengembalikan semangatku yang pudar kerana pelbagai bentuk penghinaan terhadap Islam yang aku hadapi hari ini. Malah di dalam tren itu sendiri aku diuji lagi dengan kehadiran sekumpulan remaja yang tidak dapat kupastikan akidahnya, yang sengaja bercakap dengan kuat untuk mengganggu konsentrasiku terhadap pembacaanku. Yang sengaja berusaha untuk menggoyah kesabaranku. Alhamdulillah, Allah bersamaku ketika itu untuk mengawal kemarahanku.

Sampai di stesen tren Cordoba, aku menaiki bas menuju ke hostel yang ditempah awal-awal sebelum berangkat ke Andalusia. Malam itu sebelum tidur, aku cuba bermuhasabah diri. Mengingatkan diriku kembali tujuan asal aku mengembara ke sini. Tubuh yang kepenatan dan kaki yang kesakitan kerana seharian berjalan memudahkan aku tidur lena sehingga subuh esoknya.

Keesokan paginya, aku bangun awal untuk ke Mezquita de Cordoba. Berjalan sambil melalui lorong-lorong sempit antara bangunan-bangunan. Memerhati keadaan bandar yang dikatakan romantik, historic dan lebih bersih berbanding Malaga itu. Jalan-jalan yang dihiasi batu-batuan sungai itu ku kira telah membawa aku ke dunia fantasi.

Tentu khalifah kerajaan Islam nanti akan turut berjalan di jalan-jalan itu sambil mengawasi keadaan rakyatnya laksana Saidina Umar yang menyamar di malam hari ketika zaman pemerintahannya demi menjaga keselamatan rakyatnya. Aduh, berimaginasi lagi aku rupanya!

Aku tiba di Mezquita, masjid terbesar di Andalusia ketika zaman pemerintahan khalifah Islam dahulu. Namun kini, masjid itu telah diambil alih oleh Kristian untuk dijadikan gereja. Sengaja aku sebutkan ‘masjid’ untuk membangkitkan lagi semangat bahawa masjid itu hak aku, hak orang Islam. Hampir separuh daripada bahagian masjid itu berada dalam proses pengubahsuaian untuk menjadi gereja.

Di zaman pemerintahan Islam, masjid yang asalnya kecil itu telah menjalani beberapa proses pembesaran dek kerana bilangan muslimin yang datang berjemaah di masjid itu kian bertambah sehingga menyebabkan jemaah melimpah ke luar masjid. Sehingga ke satu tahap di mana khalifah terpaksa membeli tanah gereja di sebelah masjid itu untuk meneruskan proses pembesaran itu.

Ditegaskan di sini, tanah itu dibeli dari orang Kristian dan bukannya dirampas. Namun entah dengan alasan apa, ketika Kristian kembali berkuasa di Andalusia, mereka mendakwa bahawa tanah masjid itu keseluruhannya adalah milik mereka. Aku menjadi pelik dan kesal dengan tindakan yang jelas tidak adil itu.

Melangkah masuk ke masjid itu membawa aku kembali ke dunia khayalanku. Terasa seperti aku berada di zaman pemerintahan Islam yang hebat dahulu. Ketika Islam menjadi ustaziatul a’lam. Ketika banyak negara yang dengan rela hati ingin bernaung di bawah lembayung keadilan kerajaan Islam. Serta-merta mataku menangkap gerbang-gerbang yang dibina dari batu berselang-seli merah dan putih, yang banyak menghiasi hampir keseluruhan kawasan masjid itu.

Fungsi gerbang itu bukanlah untuk mencantikkan masjid yang sedia indah itu, tetapi untuk menjadi alat pemantul suara imam agar didengari oleh lautan jemaah sehingga ke saf paling belakang kerana zaman dahulu belum tercipta teknologi mikrofon. Betapa setiap apa yang mereka lakukan ketika itu hanyalah lillahi taála. Teknologi dibangunkan untuk memudahkan ibadah kepada Allah S.W.T. Bukan untuk keduniaan. Aku jadi kagum melihat reka bentuk masjid yang sungguh mempesona itu.

Tiba-tiba langkahku terhenti di hadapan mihrab masjid yang telah dipagari oleh orang Kristian untuk menjadi tarikan pelancong. Aku meneliti khat yang terukir di mihrab itu. Air mata mulai tergenang di tubir mata. Mihrab yang dahulunya menjadi tempat sujud para khalifah yang mengimamkan solat kini hanya menjadi tempat mengambil gambar dengan bibir tersenyum polos. Saf-saf yang dulunya menjadi tempat sujud para mu’minin kini hanya menjadi tempat berpijak para pelancong.

Langsung tidak ada riak bersalah di hati mereka. Ah, mereka bukan seaqidah denganmu wahai diri. Mereka tidak faham. Jadi apa yang harus aku lakukan sekarang? Hatiku terus terdiam. Puas aku menunggu jawapannya. Aku terpaku lama dihadapan mihrab itu sambil bibirku terkumat kamit membaca khat yang menghiasi mihrab itu. Khat yang dipetik dari al-Quran. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang:

“Dialah Allah yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Maha Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah….” Surah al-Hasyr:23.

Seorang pelancong yang kagum melihat aku membaca tulisan itu hanya tersenyum. Apakah ertinya senyuman itu? Apakah dia tersenyum kerana sekarang aku berada di masjid yang dulunya menjadi hak orang Islam tetapi kini sudah menjadi hak mereka, kufar laknatullah? Tidak! Masjid itu tidak pernah menjadi hak mereka. Masjid itu hak orang Islam selamanya! Hatiku tersenyum. Wahai diri, belajarlah untuk menerima kenyataan. Memang masjid itu telah dirampas, tetapi kau boleh mendapatkannya semula. Tetapi bagaimana? Hatiku diam kembali. Masih tidak mahu memberikan jawapan. Aku sayu, menangis sambil mata tetap terpaku ke arah mihrab yang berukir indah dengan nama-nama Allah.

Tidak semena-mena telingaku mendengar nyanyian orang-orang gereja melagukan kitab mereka. Ah, aku benci mendengarnya! Aku benci dengan gambar-gambar yang digantung di dinding-dinding masjid. Aku benci melihat patung-patung yang diletakkan di sudut-sudut masjid. Aku benci semua ini! Sungguh, aku benci! Aku terus menangis tersedu sedan sambil menagih jawapan dari hatiku.

Aku melangkah keluar dari masjid itu dengan diiringi beberapa pasang mata yang seperti biasa melontarkan pandangan yang sukar dimengertikan. Aku terus berjalan, dengan hati sayu mencari jawapan. Mataku mencari pondok ‘informacion’ untuk bertanyakan tentang Medina Az Zahara. Melalui jalan-jalan sempit yang kadang kala dihiasi dengan pokok oren yang masam rasanya. Sampai sahaja di pondok ‘informacion’, aku terus bertanyakan tentang tiket bas ke Medina Az Zahara.

Nampaknya, nasib tidak menyebelahi aku apabila tiket bas sudah ‘fully booked’. Hatiku tercetus rasa kesal kerana tidak menempah secara ‘online’. Hatiku sedikit terkilan kerana terlepas peluang ke bandar yang dibina oleh seorang khalifah semata-mata kerana cintanya untuk seorang wanita itu. Bandar itu sangat cantik dan mewah sehingga tempat minum kuda juga dibuat daripada batu marmar.

Dek kerana niatnya yang salah, bandar itu hanya sempat digunakan untuk 70 tahun sahaja kerana selepas itu tentera Kristian telah berjaya menawan dan memusnahkan bandar itu. Gempa bumi juga menyumbang kepada kemusnahan bandar itu. Bencana ini turut dikatakan sebagai balasan Allah ke atas sifat khalifah ketika itu yang sudah mula leka dengan nikmat dunia.

Mungkin ada hikmahnya apabila Allah tidak mengizinkan aku melawat bandar itu. Aku lalu duduk sebentar di sebuah kerusi di sebuah taman bersebelahan dengan pondok ‘informacion’ sambil memerhatikan peta yang tedapat di tanganku. Mencari-cari tempat yang boleh diziarahi sementara menanti bas ke Granada sambil merehatkan kakiku yang kepenatan. Aku bergerak ke sebuah kubu atau istana (aku tidak pasti) yang dibina oleh orang Kristian yang terletak tidak jauh dari tempat aku duduk tadi.

Aku cuba untuk mencari sesuatu di binaan itu namun yang aku temui hanya kekosongan. Hatiku langsung tidak dapat menikmati pemandangan dari puncak bangunan itu kerana aku tahu bangunan itu bukan hak aku sejak dari awal lagi. Entah berapa banyak nyawa muslimin yang telah terkorban dek kerana terbinanya ‘kubu’ itu. Aku ke situ hanya untuk menghabiskan masaku sambil bermuhasabah diri. Hanya jasadku berada di situ tetapi jiwaku sudah lama terbang kembali ke Mezquita.

Terlayar kembali corak-corak di siling masjid. Terbayang kembali mihrab yang menghibakan itu. Aku tertunduk lama di puncak bangunan itu sambil cuba mencari jawapan dari hatiku. Hatiku masih jua diam tidak bersuara. Tiba waktu makan tengah hari, aku turun dari bangunan itu dan kembali ke hostel untuk mengambil bagasiku. Setelah check-out, aku tidur sebentar di common room hostel tersebut sementara menunggu jam 3.00 petang untuk bergerak ke bus station Cordoba.

Tepat jam 4.30 petang aku bertolak dari ‘estacion de autobuses de Cordoba’ ke kota Granada. Kota yang aku impikan selama ini untuk menjejakinya. Kota yang mengingatkan aku kepada sesuatu. Kota yang membawa aku kepada sebuah cerita tragik, cerita kejatuhan khilafah Islam di Andalusia. Kota yang membuatkan kerinduanku kepada Al-Hambra bakal terubat. Kota yang…

Sampai sahaja di stesen bas Granada, aku menaiki bas ke Plaza Nueva. Dari situ, aku menapak ke hostel ‘Rambutan’ yang memakan masa lebih kurang 30 minit berjalan. Dengan kehadiran bagasi dan keadaan malam yang gelap, perjalanan terasa begitu menyeksakan. Namun kugagahi jua untuk meneruskan perjalanan. Di sisi kanan ku kelihatan istana Al-Hambra yang berdiri gah di atas bukit tinggi, berwarna kemerahan bersinar dalam pesonanya tersendiri.

Terasa istana Al-Hambra memanggilku ketika itu. Mahu sahaja aku terbang menuju ke istana itu ketika itu juga namun kusedar sendiri. Itu tidak mungkin. Bersabarlah wahai diri dan hati. Esok akan kau kuasai juga istana itu. Insya Allah. Malam itu aku makan nasi berlaukkan sardin. Setelah berhari-hari tidak menjamah nasi, lauk sederhana malam itu terasa begitu menyelerakan.

Alhamdulillah, syukur kepada tuhan yang dengan nikmatnya aku berada di sini, hari ini, ketika ini. Syukur kepada tuhan yang dengan nikmatnya aku masih bernafas. Bersyukur kepada tuhan yang dengan kasih sayangnya, tidak pernah sekali pun meminta aku membayar setiap nafas yang aku hirup selama ini. Bersyukur kepada tuhan yang dengan inayahnya, sentiasa memberi aku peluang bertaubat. Bersyukur kepada tuhan yang dengan rahmatnya aku dikurnia nikmat paling berharga dalam hidup seorang manusia; nikmat iman dan islam.

Malam itu aku tidur kerana keletihan amat. Mungkin juga kerana telingaku sudah terngiang-ngiang dengan seruan Al-Hambra. Atau mungkin juga kerana mataku sudah terbayang-bayang lambaian istana itu. Maka aku mempercepatkan tidurku. Tidurku lena sehingga ke subuh esoknya.

Keesokannya, pagi-pagi lagi aku sudah terpacak di depan kaunter pembelian tiket untuk memasuki Al-Hambra. Aku membeli tiket menggunakan kad kredit sahaja. Lebih mudah dan cepat. Tidak perlu beratur panjang. Sempat aku meneliti tiket ku. Waktu untuk menjelajahi istana Nasrid terhad rupanya. Waktu lawatan aku hanya hingga jam 2 petang.

Perjalanan dari tempat pembelian tiket ke pintu masuk istana agak jauh. Jenuh juga aku berjalan. Mujur cuaca tidak begitu panas. Tepat jam 9.43 pagi, aku melangkah melepasi gerbang istana Al-Hambra. Hatiku berbunga gembira sambil bibir menitipkan hamdalah ke deruan angin yang menerpa wajahku. Betapa saat ini yang aku nanti selama ini. Aku tersenyum sendiri.

Sebaik sahaja aku masuk ke kawasan istana, aku terpandang sebuah kedai yang menjual cenderahati Al-Hambra. Aku masuk ke kedai itu untuk mencari buku tentang Al-Hambra. Ku belek-belek sebentar buku itu sebelum membelinya. Sambil meneliti buku yang dibeli aku keluar dari kedai itu. Rupanya Al-Hambra terdiri daripada tiga bahagian; Al-Cazaba, istana Nasrid dan Generalife

Aku terus melangkah ke satu binaan di sudut kiri. Al-Cazaba, kubu pertahanan yang mempunyai tiga menara membentuk segitiga. Dari atas menara-menara itulah khalifah Islam akan berdiri memerhatikan keadaan rakyatnya. Di dalam menara itu terdapat tingkap-tingkap kecil yang menghala ke semua arah bertujuan untuk mengintip kedatangan musuh.

Dalam perjalanan ku dari sebuah menara ke sebuah menara, menemukan aku kepada suatu kawasan yang dikatakan tempat tinggal tentera Islam dahulu. Dinding-dindingnya telah dirobohkan. Yang kelihatan hanyalah layout rumah yang terbahagi-bahagi dan berpetak-petak.

Aku menapak tangga untuk menaiki sebuah menara yang kini telah diletakkan loceng besar dan empat bendera Kristian. Entah dengan tujuan apa. Apakah mereka cuba untuk melayarkan kubu itu sebagai hak milik mereka? Aku ketawa. Sungguh tidak bijak tindakan mereka itu. Dari atas menara itu juga aku dapat melihat puncak sebuah gunung yang terletak di belakang Al-Hambra. Puncak gunung Siera Nevada yang dihiasi salji memutih.

Aku terbayang, dahulu ketika dunia belum diancam oleh pemanasan global angkara manusia, pasti gunung itu berdiri dengan lebih indah. Diselimuti salji putih sambil terus bertasbih menyucikan Allah. Alangkah indahnya saat itu. Sempat aku rakamkan beberapa gambar dengan lensa kameraku. Aku menuju pula ke kawasan di sekitar istana Nasrid sementara menunggu waktu untuk menjelajah istana itu.

Aku berjalan di sekitar taman itu. Melewati ‘’Tower of the Two Sisters’’ dan istana tinggalan Yusuf III. Tepat jam 11.55 pagi aku bergerak ke istana Nasrid. Beratur di barisan panjang untuk masuk ke istana itu. Setelah tiketku disahkan oleh pegawai yang bertugas, dengan lafaz bismillah aku melangkah masuk ke ruang istana.

Serta-merta mataku menangkap ukiran yang berselirat di dinding-dinding. “LA GHALIB ILLALLAH” yang bermaksud tiada penakluk selain Allah. Cantik, indah, tersusun dan mempesona. Tanganku mendekati ukiran itu, menyentuh perlahan sambil bibir mengulangi khat itu dengan lancar. Memang indah. Namun jika difikirkan kembali bagaimana perasaan khalifah ketika beliau meminta ukiran itu dipahat ke dinding istananya, aku terkedu. Betapa beliau buntu ketika itu…

Sewaktu istana itu jatuh ke tangan kufar dengan mudah, khalifah hanya mampu menangis meratap kekhilafannya. Aku jadi teringat kepada kata-kata ibunda khalifah itu: “Janganlah kau menangis seperti seorang wanita jika kau tidak dapat mempertahankannya seperti seorang lelaki.” Kata-kata yang sememangnya menusuk dan berbekas di hatiku sejak pertama kali aku mendengarnya.

Ketika satu persatu bandar Islam di sekeliling Granada jatuh ke tangan tentera Kristian, khalifah semakin dihimpit dilema. Tersepit antara keselamatan rakyatnya dan keselamatan bandar Islam yang lainnya. Dengan payah, dia bersetuju untuk menolong tentera Kristian dalam menawan bandar-bandar Islam yang lain demi kemaslahatan rakyatnya.

Namun akhirnya, bandar Granada juga jatuh tersembam ke bumi bersama-sama khilafah Islam di Andalusia. Begitulah berakhirnya zaman kegemilangan Islam di Andalusia. Pengakhiran yang bukan pengakhiran selama-lamanya kerana aku yakin suatu hari nanti khilafah itu akan tertegak kembali. Mataku mula membasah. Sayunya terasa hati ini.

Aku melangkah ke ruangan lain. Ruangan yang menempatkan sebuah terusan yang memantulkan imej istana dengan ketepatan seratus peratus. Bermakna, saiz imej istana di atas air sama dengan saiz objek istana. Terusan itu dilengkapi dengan sistem pengairan bawah tanah yang memastikan pengaliran air sempurna agar air terusan tetap tenang dan imej istana tetap jelas.

Manakala di sudut terusan pula terdapat dua kolam bulat yang mempunyai pancutan air, masing-masing di sudut kanan dan kiri terusan. Pancutan air itu melambangkan kelahiran manusia ke dunia, kolam bulat pula simbol kehidupan manusia di dunia. Sementara saluran kecil yang menyambungkan kolam dengan terusan pula melambangkan kematian, alam kubur dan alam barzakh. Akhir sekali, terusan yang sentiasa damai itu menjadi simbol kehidupan abadi; kehidupan alam akhirat.

Begitu mendalamnya fungsi-fungsi yang cuba ditonjolkan oleh jurutera islam yang membina sistem pengairan itu. Aku jadi semakin kagum. Bergerak pula ke sebuah ruangan yang dikenali sebagai ‘Hall of Ambassador’. Ruangan yang dindingnya dihiasi khat Kufah; sejenis khat yang memerlukan kepakaran yang tinggi untuk ditulis apatah lagi untuk diukirkan ke dinding. Khat itu melambangkan kewibawaan pembesar-pembesar Islam ketika itu. Sementara siling ‘hall’ itu pula terdiri daripada tujuh lapisan yang melambangkan tujuh petala langit manakala bahagian yang paling tinggi pula menjadi simbol Luh Mahfuz, tempat terletaknya A’rasy Allah yang agung.

Aku melangkah keluar dari ‘hall’ itu dan berjalan di tepi terusan tadi sebelum masuk ke sebuah lagi ruangan istana yang menempatkan sebuah pancutan air yang mengkagumkan. Mengapa mengkagumkan? Kerana pada zaman kegemilangan Islam dahulu, pancutan air itu hanya akan mengeluarkan airnya setiap kali masuk waktu solat fardu. Bermakna, kehadiran pancutan air itu bukan untuk perhiasan semata tetapi untuk menjadi tempat mengambil wudu’.

Malangnya, kecanggihan teknologi itu tidak dapat disaksikan sekarang kerana sebaik sahaja orang Kristian berjaya menakluk istana itu, ilmuwan mereka telah cuba untuk membuka pancutan air itu untuk mengkaji sistem pengairan yang digunakan orang Islam sehingga pancutan air itu boleh berfungsi sehebat itu. Namun, mereka tidak menemukan sebarang maklumat dan apabila mereka memasangnya semula, pancutan air itu tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya.

Begitulah akibatnya keangkuhan kufar yang sering cuba untuk menakluk teknologi Islam. Walaupun mereka sedar akan kebenaran Islam, tetapi mereka tetap menutup mata dan telinga mereka untuk mendapatkan kebenaran itu. Betapa angkuh dan sombongnya mereka terhadap Allah, pencipta mereka. Betapa hati aku semakin membara kerana mereka telah merampas hak aku, hak orang islam.

“….mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi…..” surah al-A’raf: 179

Kemudian aku bergerak ke beberapa ruangan lain lagi. Khususnya sebuah ruangan yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai ahli istana yang darah mereka mengalir menerusi terusan kecil masuk ke sebuah kolam yang akhirnya kolam itu bertukar kemerahan. Betapa kejamnya tentera Kristian. Mereka memang tidak akan pernah redha dengan Islam selagi kita tidak mengikut telunjuk agama mereka. Huh!

Masa untuk ke Generalife. Taman diraja yang dihiasi terusan-terusan dan bunga-bungaan indah mempesona. Tambahan lagi ketika ini musim bunga. Bertambah indahlah jadinya. Jalan ke Generalife sangat jauh. Tubuhku semakin berpeluh, lemak-lemak paha terasa jatuh berguguran ke tanah. Boleh turun 5 kg sehari kalau begini, bisik hatiku.

Sampai sahaja di taman itu, aku hanya merakamkan beberapa foto kenangan untuk mengabadikan keindahan itu di dalam memori kamera sambil cuba bermuhasabah diri. Suatu hari nanti bukan sahaja taman itu yang akan menjadi milik islam, tetapi seluruh dunia akan berada di bawah lembayung islam. Janji Allah itu pasti, saat itu realiti!

Waktu melawat aku telah tamat. Tibalah masanya aku meninggalkan Al-Hambra. Melangkah menuruni Generalife sambil merenung ke dalam hati. Masih lagi mencari-cari jawapan. Aku resah, sedih dan pilu untuk meninggalkan istana sejarah itu. Payah terasa hati, tetapi aku akui setiap pertemuan akan ada perpisahannya. Aku melangkah melepasi gerbang Al-Hambra sambil tanganku mendakap kejap buku Al-Hambra yang kubeli tadi. Di dalam hati aku berazam. Aku akan kembali lagi ke sini bersama ‘seseorang’.

Petang itu aku menikmati hidangan makan tengah hari di sebuah kedai kebab yang disyorkan sahabatku di Manchester, ‘Kebab King’. Adakah kebabnya sehebat namanya? Itu kau perlu merasa sendiri. Bagiku, rasanya lebih enak berbanding kebab yang dijual di Malaysia. Aku tersenyum sendiri apabila teringatkan Malaysia. Mengapa ya?

Selepas bersembang panjang dengan penjual kebab itu, aku berjalan menuju ke destinasi seterusnya, Mezquita de Granada. Masjid yang baru sahaja terbina pada tahun 2003 selepas masyarakat Islam di sini berjuang selama 20 tahun untuk mendapatkan tanah itu. Sampai sahaja aku di masjid itu, waktu asar hampir berkunjung. Aku lantas terus berwudu’ dan menanti azan dilaungkan.

Beberapa minit kemudian kedengaran sayup-sayup azan berkumandang. Namun mengapa terasa seperti begitu jauh kedengaran bunyinya? Aku melangkah keluar dari ruangan solat. Mataku terpaku kepada sekujur tubuh yang sedang berdiri di atas menara, melaungkan azan dengan kelantangan suaranya. Tanpa bantuan sebarang pembesar suara. Subhanallah! Aku terkedu.

Mataku tiba-tiba bergenang. Teringat kepada zaman Rasulullah S.A.W, selepas pembukaan kota Makkah. Bilal bin Rabah memanjat dinding Kaabah dan melaungkan azan dengan suaranya yang merdu. Suara yang berjaya menggetarkan setiap hati yang mendengarnya. Suara yang dirindui para sahabat selepas kewafatan Rasulullah S.A.W; kerana Bilal tidak betah lagi untuk terus tinggal di Makkah selepas ketiadaan Rasulullah.

Ya, aku seperti berada di zaman itu. Air mataku terus mengalir laju. Betapa Islam di Andalusia begitu dagang sehingga azan pun tidak dibenarkan memakai mikrofon. Aku masuk semula ke dalam ruangan solat sambil menyeka air mata. Selesai membaca doa selepas azan, aku bersama-sama imam masjid dan beberapa orang penduduk di situ terus berjemaah solat asar. Selepas salam, aku bangun kembali untuk menunaikan solat zuhur yang dijama’-qasarkan ke solat asar.

Selesai solat, aku duduk berdoa sebentar sebelum keluar untuk berjumpa penjaga masjid. “ Can I come again for Maghrib?”. Pemuda itu memandangku dengan pandangan senang. “Yes, of course ya akhi. You are very welcome. The time limit outside there is only for the other tourist.” Aku tersenyum mendengar jawapan itu kerana aku faham apa yang dimaksudkan oleh pemuda itu.

Rupanya waktu melawat yang diletakkan di luar hanya untuk pengunjung yang tidak seaqidah denganku. Dan aku, sangat-sangat dialukan kehadirannya di situ. Buat pertama kali di daerah Andalusia, aku terasa begitu dihargai. Aku mengalihkan pandanganku ke arah khat di atas pintu utama masjid. Khat yang mengabadikan surah al-Ikhlas di atas kayu itu kuhayati maknanya. Aku beralih kepada pemuda itu.

“Gracias!” Aku tersenyum ke arahnya. “Syukran” sambut pemuda itu. Aku terkedu sebentar. Dia boleh berbahasa Arab? “Err, syukran.” Aku mengulangi kata-katanya. “Afwan, assalamua‘laikum”. Balasan salam bergema dalam hati. Masya Allah! Hebatnya ukhwah ini. Kami tidak pernah berkenalan sebelum ini namun mengapa ucapan salam darinya terasa begitu berbekas dalam hati? Pemuda itu menganggukkan kepala, begitu juga aku.

Aku berjalan keluar dari masjid dan menelusuri jalan-jalan sempit di kampung yang dinamakan Al-Baycin itu. Berjalan sehingga sampai ke satu taman, aku duduk di situ sambil mataku menjamu Al-Hambra yang kelihatan dekat denganku. Duduk merehatkan kakiku sambil mindaku kembali kepada ucapan salam tadi. Betapa ucapan salam itu sangat berharga apabila terucap di daerah yang menganggap Islam itu dagang. Hatiku tersenyum hiba.

Mataku terarah kepada beberapa pasangan yang seronok bercumbuan. Aku tunduk kembali. Beban dakwah kian terasa berat di bahu. Aku mula menjumpai jawapan yang aku cari sejak menjejakkan kaki ke sini. Ya, dakwah! Kau harus memilih jalan ini jika kau mahu segala yang ‘dirampas’ mereka kembali menjadi hak kau, hak orang islam. Hatiku menyokong pantas.

“Dakwah tidak memerlukan kau, tapi kau yang memerlukan dakwah. Kau yang harus membuat keputusan sama ada kau mahu berada di dalam gerabak ghuraba’ ini atau tidak. Kau! Bukan orang lain.” Hatiku mendesak kuat.

“Jika Allah menghendaki, niscaya Dia musnahkan kamu wahai manusia, dan Dia datangkan umat yang lain (sebagai penggantimu). Dan adalah Allah Maha Kuasa berbuat demikian” surah an-Nisa’ : 133.

Aku menutup wajahku dengan telapak tanganku. Dadaku terasa mampat, menahan tolakan yang tiba-tiba hadir dari dalam kalbu. Air mata mengalir lagi. Ya Allah, beratnya beban ini. Mampukah aku?

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya……” surah al-Baqarah : 286.

Hah, mengapa sekarang kau mengalah wahai diri? Bukankah sebentar tadi semangat kau berkobar-kobar untuk menakluk Al-Hambra? Bukankah sebentar tadi kau bercakap tentang janji Allah? Bagaimana pula dengan janji kau?!

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi……” surah al-Baqarah : 30.

Mataku terarah kembali kepada Al-Hambra. Seakan-akan ‘dia’ memanggil aku untuk menyelamatnya dari palitan kekufuran. Seakan-akan Mezquita de Cordoba melambai-lambai aku untuk datang mengimarahkannya. Seakan-akan Andalusia memintaku mengembalikan sinarnya. Ya Allah!!! Jeritan itu bergema dalam dada, meresap ke seluruh urat nadi.

Aku berjalan meninggalkan taman itu untuk kembali ke masjid. Setibanya di masjid, aku berjalan ke perkarangan. Tiba-tiba seorang pengunjung secara tidak sengaja telah menjatuhkan sebotol arak ke lantai perkarangan itu. Aku lantas merenungnya tajam. Terkejut bercampur marah. Dengan segera dia mengutip kaca yang bertebaran dan bergegas meninggalkan masjid.

Aku pergi menemui pemuda penjaga masjid tadi. Dia lantas mendapatkan mop dan baldi untuk membersihkan tumpahan arak yang sudah mula berbau itu. Aku hanya memerhati kerana dia terlebih awal sudah menolak ketika aku menawarkan pertolongan. Mungkin dia merasakan itu adalah tugasnya, maka tidak wajar jika dia mambiarkan aku yang membersihkannya.

Aku duduk di perkarangan masjid sambil memerhatikan pesona kemerahan Al-Hambra, menanti masuknya waktu maghrib. Kuabadikannya dengan lensa kameraku. Semoga ia menjadi pembakar semangatku kelak. Beberapa minit kemudian, kedengaran lagi azan yang mendayu. Yang menusuk kalbu.

Hatiku jadi sebak semula. Di saat azan dilaungkan, manusia di luar pagar masjid sedang seronok meminum arak dan bersuka ria. Tiada seorang antara mereka yang mengendahkan azan itu. Tiada seorang pun yang mempedulikannya. Kau perlu berdakwah wahai diri! Bisikan itu bergema lagi. Berdakwah untuk selamatkan mereka. Pantas aku ke tandas untuk mengambil wudu’ selepas azan selesai.

Aku berjemaah maghrib bersama penduduk setempat. Selesai berjemaah, aku duduk dalam kelompok mereka untuk bertadarus al-Quran. Namun, aku jadi kekok kerana cara bacaan mereka yang sedikit berbeza. Bacaan yang sedikit mendayu-dayu dan ditarik-tarik. Sesiapa yang fasih berbahasa Arab dan faham akan bahasa al-Quran pasti menangis mendengarnya.

Aku tidak tinggal bertadarus sehingga ke penghabisannya kerana aku perlu pulang ke hostel sebelum malam menjadi lebih gelap. Selepas bersalaman dengan ahli masjid, aku berjumpa pemuda penjaga masjid yang sedang berdiri bersandar di dinding sambil membaca sesuatu. Aku menghampirinya, menyatakan hasrat untuk pulang. Dia lalu mengangguk.

Menatap ke matanya, aku dapat membaca bahawa dia mengharap agar kehadiran aku di situ bukan semata-mata lawatan melancong malah sebuah titik permulaan perjuangan. Aku tersenyum pahit. Ya, aku mahu berjuang ya akhi! Aku mahu masjid ini terus menjadi masjid. Aku mahu kembalikan hak Islam, dan aku mahu menjaga hak yang masih menjadi hak seperti masjid al-Aqsa!

Salam dilafazkan sambil tangan bertaut kejap. Aku melangkah semula ke perkarangan masjid, mengaut sebanyak mungkin imej Al-Hambra ke kotak fikiran. Tertunduk lesu sambil tangan diangkat ke paras dada. Air mata menuruni pipi. Doa Rabitah bergema perlahan:

Hati ini telah bersatu, berkumpul di perut bumi Mu

Hati ini telah berpadu, bersatu memikul beban dakwahMu

Hati ini telah mengikat setia untuk mendaulah untuk menyokong

SyariatMu di alam maya

Maka Ya Allah eratkanlah ikatan yang ada

Maka Ya Allah eratkanlah ikatan yang ada

Kekalkan kemesraan yang ada, tunjukkanlah jalan yang benar

Tunjukkan dengan cahayaMu, tiada malap terangi alamMu

Suburkanlah dengan ma’rifahMu

Tapi jika ingin mematikannya…

Matikanlah sebagai syuhada’

Dalam perjuangan menegakkan agama yang mulia

Dalam perjuangan menegakkan agama yang mulia

Malam itu aku kembali ke hostel dengan perasaan berbeza, mungkin kerana aku sudah menemukan jawapan yang aku cari. Aku seperti menjadi manusia baru dengan jiwa dan semangat yang baru. Aku mengemas baranganku kerana keesokan paginya aku harus berangkat meninggalkan Andalusia. Berangkat meninggalkan tetapi bukan untuk selamanya kerana aku akan kembali lagi ke sini dengan izinNya.

Pagi itu, sebelum bertolak ke lapangan terbang, aku merenung istana Al-Hambra buat kali terakhir. Pandanganku tidak lepas walau untuk sesaat. Perlahan aku bisikkan ke hatiku. Tunggulah saatnya di mana Islam kembali bangkit. Tunggulah saatnya di mana kekalahan Islam itu tertebus dengan kekalahan kufar. Tunggulah saatnya aku menakluk Al-Hambra! Nantikan saat itu wahai musuhku. Laungan itu terus bergema, bergema bersama jasadku yang sudah berada dalam perut pesawat yang akan menemukanku dengan bumi Manchester sebentar lagi….

~SETIAP SAAT AKU DI ANDALUSIA~

Menulis bukan untuk memberi, tetapi untuk berkongsi. Membaca bukan untuk menghargai, tetapi untuk menghayati”

(Hakcipa terpelihara.. mohon kebenaran penulis sebelum diambil karyanya)

Leave a response

Your response:

Categories