Entah kenapa, diri ini sering terfikir.
Apakah gunanya aku kepada manusia?
Kalau manusia itu terlalu luas, aku kecilkan skopnya pada negara.
Masih terlalu besar?
Apakah gunanya aku kepada komuniti aku di bandar L?
Terlalu ramai?
Apakah gunanya aku kepada rakan seangkatanku?
Apakah gunanya aku kepada teman-teman serumahku?
Andai itu skopnya masih besar, ingin sahaja aku label diriku sebagai PENTINGKAN DIRI SENDIRI!
Tidakkah aku mempunyai kegunaan kepada orang lain? Kenapa aku tidak tahu apa gunanya aku?
Tenang, tenang. Jangan risau.
Mari kita duduk, merenung sejenak satu antara berjuta makhluk Al-Khaliq.
Sepohon kelapa?
Dari akar umbinya ke hujung daunnya yang tirus. Berguna pada manusia hingga digelar pokok 1001 guna. Akarnya menahan pepasir pantai dari terus terhakis dek ombak. Batangnya jika tidak dibuat tiang pondok dijadikan pangkin beristirehat. Pelepah menjadi mainan kanak-kanak riang. Lidinya menjadi idaman pengusaha penyapu. Buahnya pula… MMmmm, air kelapa muda bersama nasi kandar panas. Apabila tua, isinya dijadikan santan, sabutnya dijadikan penyapu. Subhanallah, dari muda ke tua sepohon kelapa berbakti kepada manusia dan alam. Begitulah Al-Khaliq menciptakan makhlukNya. Mempunyai tujuan dan kegunaan. Begitu juga manusia. Dijadikan sebaik-baik ciptaan dan diangkat menjadi khalifah Bumi selain mengabdikan diri kepadaNya. Itulah kegunaan kita. Akan tetapi, adakah sama kegunaan dan manfaat? Pertama sekali mari kita bersama membuat refleksi diri. Kita ingatkan diri kita kenapa kita dijadikan?
Ingat lagi Surah Al-Baqarah ayat 30?
’Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat ,”Aku hendak menjadikan khalifah di bumi. Mereka berkata, ”Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dam menumpahkan dara di sana,sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?” Dia berfirman, Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu mengetahui”
Dan Surah Az-Zariyat ayat 56?
” Tidak Aku menciptakan Jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku”
Hidup kita hanya kerana 2 tujuan ini. Satu untuk menjadi khalifah, dua untuk beribadah. Haa… di situlah manfaat kita. Apalah guna hidup ini jika digunakan hanya untuk makan, minum dan tidur. Oleh itu,buatlah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain dan masyarakat.Muhasabah diri sekali lagi dan cuba kita ’list’kan perkara-perkara yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Bak kata pepatah buatan sendiri ”Buat baik dibalas baik, beri manfaat kepada orang lain, insyaAllah, di akhirat tak kan rugi”. Manfaat bukan sahaja dalam apa yang kita lakukan, malah badan jasadiah kita ini harus dimanfaatkan. Kalau perlu guna badan kita untuk angkat barang, di situlah manfaatnya. Kalau perlu guna akal kita untuk fikir strategi bagaimana nak jalan-jalan di Turkey dalam masa 2 hari, di situlah manfaatnya.. dan banyak lagi yang insya-Allah bermanfaat… Jadikanlah pokok kelapa sebagai teladan, andai pokok kelapa mempunyai 1001 manfaat, biarlah kita bermanfaat lebih dari itu. Harap-harap kita dapat menjadi Ulul Albab yang melihat tanda kekuasaan Allah (s.w.t) melalui penciptaan langit dan bumi dan mengambil pelajaran daripadanya…
Wallahua’lam
Teratak Hijau…
LS2 9LA