Posted by: msmnorthwest | May 16, 2009

Jiwa Perkasa

studyDi kala semua kita populasi pelajar di Manchester ini semakin hampir dengan peperiksaan akhir tahun yang sudah hampir tiba, segala macam aktiviti sampingan di kurangkan. Tumpuan hanya belajar dan belajar. Jiwa tidak tenang memikirkan waktu yang semakin suntuk dan banyak lagi buku teks atau nota yang belum dibaca dan dihadamkan. Ditambah pula lagi dengan tugasan-tugasan baru yang diberikan oleh pensyarah. Buku-buku bertimbun, tidur lewat malam, selalu makan di luar, bilik tidak dikemas, muka serabai, pakaian selekeh dan hidup yang berserabut gara-gara ingin skor atau elak dari gagal menjadikan jiwa kusut lagi tidak tenang. Ini baru peperiksaan dan belum lagi dalam peperangan.

Cuba bayangkan suasana dalam perang. Bagaimana agaknya kita? Tidak perlu bayang jauh yang kita ini tentera, bayangkan sahaja kita terperangkap dalam pertempuran dalam peperangan.

Kemudian lihat pula saudara kita di Gaza. Tanya orang-orang yang pergi sebagai sukarelawan di sana. Baca sahaja dari mana-mana blog mereka. Anda pasti kagum dengan semangat penduduk yang tenang meneruskan hidup dalam keadaan sebegitu teruk.

Apakah rahsianya ketenangan mereka?

Dalam peperangan, keteguhan hati merupakan satu asset yang sangat penting. Seorang ulama yang pernah menyertai jihad dalam menentang penjajah menceritakan yang apabila dalam peperangan kaki akan menggeletar, dada menjadi sesak, pemikiran menjadi kabut, perasaan bercampur baur, kesakitan dan kematian yang menyeksakan terbayang-bayang di mata dan kekuatan yang ada pada diri menjadi sia-sia akibat rasa takut.

33:10 ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan (mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan yang bukan-bukan.

 

Rahsianya adalah doa kepada Allah. Cuba lihat:

prayers

8:9 “(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “”Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”".”

8:10 Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai kabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram karenanya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

Ayat ini tentang peperangan Badar. Peperangan pertama umat Islam menentang kebatilan. Peperangan yang menguji dan sebagai penentu nasib umat Islam. Pentingnya perang ini, seperti dalam doa Rasulullah, jikalau umat Islam kalah dalam peperangan ini, nescaya tiada lagi orang akan menyembah Allah. Lalu Allah menurunkan pertolongan seribu malaikat yang berturut-turut, bukan sekadar menambah kekuatan, bukan sekadar menambah bilangan, tetapi sebagai yang lebih utama untuk menggembirakan dan menenangkan hati tentera Islam.

Kemudian, di sambung lagi:

8:11 (Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan setan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki (mu).

Allah menambah ketenangan dengan memberikan sifat mengantuk. Cuba bayangkan, dalam peperangan, yang jika dikira jumlah tentera sebagai kayu pengukur kemenangan sudah tentu orang mukmin akan kalah, bolehkah seorang tentera mukmin itu melelapkan mata? Dengan jiwa berkecamuk dan perasaan gementar yang mencengkam dalam menunggu waktu pertempuran pada esok hari, jiwa yang tidak yakin akan janji Allah akan resah memikirkan nasib. Ketenangan dan rehat yang cukup lagi menyegarkan menjadi hikmah rasa mengantuk itu.

8:12 “(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “”Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkanlah (pendirian) orang-orang yang telah beriman”". Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka.”

Kemudian Allah menyuruh para malaikat meneguhkan hati orang-orang beriman dan Allah menimbulkan rasa takut kepada orang kafir.

Pada saat ini, tentera Islam menjadi kuat dengan keteguhan hati dan iman mereka manakala tentera musuh menjadi lemah lantaran sifat takut mereka. Kemenangan tentera Islam tercatat dalam sejarah. Senjata rahsianya adalah keteguhan hati orang beriman dan sifat takut orang kafir dan ianya datang hanya dari Allah.

Kesimpulannya, dalam kita melakukan satu amal pekerjaan di dunia ini, lakukanlah ia kerana Allah semata-mata dan berdoalah. Allah sahajalah yang memberi kekuatan untuk melakukannya dan kekuatan utama yang Allah akan beri adalah kekuatan dan ketenangan hati.

Mintalah ilmu dan kefahaman dari pemiliknya. Seperti yang Allah katakan dalam ayat Al-Quran di atas, kemenangan dan kejayaan itu dari Allah.

Jangan lupa juga minta rehat dan tidur yang cukup agar sihat dan tentang dapat menumpu 100% tumpuan semasa ulang kaji dan menjawab peperiksaan.

Juga jangan lupa memperbanyakkan sedekah kepada penduduk Gaza. Jangan semasa ada orang yang mati sahaja barulah kita akan peduli akan mereka dan sibuk terpekik terlolong berdemo di sana sini. Semasa proses pembinaan semula bandar Gaza inilah lebih penting lagi perhatian dan kepedulian kita terutama bantuan material. Lebih baik lagi jika anda sanggup menaja pendidikan anak-anak yatim Gaza melalaui NGO seperti Human Appeal. Semoga dengan banyak bersedekah Allah murahkan rezeki anda.   

 

 


Leave a response

Your response:

Categories