12 – 14 Jun 2009, Belfast
Alhamdulillah, jaulah ke Belfast oleh ikhwah Manchester dan Birmingham selepas berakhirnya peperiksaan akhir tahun memahatkan kenangan dan ukhuwah yang cukup bermakna. Terdiri daripada sembilan ikhwah, kami menerima layanan yang cukup mesra oleh penghuni Belfast. Jazakallahu khairan kepada tuan rumah, saudara Idris, Dr. Amin dan Ust Khalid di atas layanan yang memang terbaik.
Memancing di tengah lautan dan di atas fishing boat merupakan pengalaman yang cukup menarik. Sekitar dua jam memancing, kami hanya memperolehi sejumlah 30 ekor ikan mackerel sahaja (ikhwah Nottingham pernah mencecah angka 200 lebih ekor ikan). Pengalaman yang betul-betul menguji kesabaran. Walaubagaimanapun ianya cukup untuk dijadikan bahan jamu pada sesi BBQ keesokan harinya.
Keesokan hari, kami ke Giant Causeway, melihat keindahan bumi ciptaan Ilahi. Walaupun diselangi oleh rintik-rintik hujan, ianya tidak mematahkan semangat kami untuk terus merenung akan kebesaran Allah Taala. Terasa diri ini sangat kerdil melihat luasnya ciptaan Allah yang baru hanya menjangkau pancaindera kami.
Dalam perjalanan pulang ke kota Belfast, kami singgah di salah sebuah pantai di utara Belfast untuk berBBQ ikan hasil tangkapan semalam. Alhamdulillah, walaupun hujan lebat sepanjang perjalanan pulang, tetapi dengan kuasaNya tiada rintik hujan pun semasa kami berBBQ. Terasa sungguh nikmat memakan ikan segar hasil tangkapan sendiri.
Sepanjang jaulah kali ini, kami juga sempat berkenal-kenalan dengan penghuni Malaysia di sekitar Belfast (dijemput untuk memeriahkan majlis aqiqah empat keluarga – sedap makan kambing). Kami juga sempat menziarahi Dr Amin sekeluarga. Dapat bermain-main dengan Mish’al. Jazakallah atas sarapan pagi dan makan malam yang menyelerakan. Juga sempat menziarahi Ustaz Khalid sekeluarga. Jazakallah atas minum petang.
Semoga jaulah ke Belfast kali ini diberkati Allah Taala






