Telah Lebih Setengah Abad Bendera itu Berkibar

Masih ingatkah kalian
1 April 1948
Saat turunnya Union Jack
untuk diganti dengan “Star of David”
Di atas tanah warisan para anbiya’
Tanah itu dulu pernah disinggahi
Nabi kita yang mulia
Dalam perjalanan menuju Sidratul Muntaha
Kunci kotanya pernah diserahkan
Kepada Umar Amirul Mukminin
Dari Penguasa Empayar Byzantium
Lalu diisytihar sebagai waqaf muslimin
Hiduplah segala bangsa
Rom, Kristian, Muslim dan Yahudi
Dalam aman bahagia
Masa berlalu
Dan pada millenium pertama
Bumi itu dijajah kembali
Sekali lagi oleh pemikul-pemikul Salib
Di atas pundak-pundak kuda
Bersahutanlah seruan sabil
Di medan Hittin
Salahuddin al-Ayyubi mengembalikan kota itu
Kemasyhuran kita bermula
Usaha mereka tidak terhenti
Dengan lagenda Richard “berhati singa”
Mereka merancang dan terus merancang
Akhirnya peluang datang
Apabila dunia Islam yang menjadi pewaris kota itu
Dikalahkan dengan runtuhnya kesatuan
Sebelum mereka dialahkan di medan perang
Dendam lama masih membara
Dengan pongah
Mereka injak pusara pahlawan berjasa
Berserulah mereka
Salladin!!!
Perang Salib telah tamat!!!
Episod duka itu tidak berakhir
Malah menjadi prolog kepada satu penderitaan berpanjangan
Kebencian dizahirkan
Dengan membina pakatan antarabangsa
Kota itu dikepung dari segala penjuru
Melalui satu pengisytiharan cuma
Datanglah waris-waris Bani Israel
Dari segenap tempat
Menduduki tanah itu dengan percuma
Setelah menang dalam peperangan Dunia
Ciptaan dan lakonan mereka
Mereka bersidang
Kononnya untuk mencari keadilan
Ke atas satu bangsa yang teraniaya
Kali ini waris-waris Bani Israel bukan sekadar
Diberikan pas percuma
Malah dianugerahkan sebuah Negara
Setelah penghuninya diusir
Dari tanah kelahiran mereka
Setengah abad sudah bendera itu berkibar
Setelah derita menjadi sebati
Setelah generasi silih berganti
Setelah Negara-negara bersaudara menyepi
Menyangka kebangkitan telah mati
Bercambahlah benih harapan
Dari darah syuhada
Yang terus menyuburkan jiwa-jiwa yang sedar
Slogan kemenangan berkumandang
Dari mehrab dan mimbar-mimbar
Para musuh kembali mengepung
Kali ini menggabungkan gergasi-gergasi dunia
Untuk menunjukkan sebuah kebangkitan
Yang dijulang oleh segelintir cuma
Daif kelihatan mereka
Tetapi tidak pada jiwa
Mereka terus berjuang meski
Di selang-seli tangisan anak-anak
Kerana perut minta diisi
Kemenangan bagi mereka sudah pasti
Syurga sedang menanti
Lalu mereka menyeru
Saudara-saudara mereka yang sedang diulit mimpi
Yang tidur kekenyangan
Hulurkanlah bantuan dari hartamu yang melimpah-ruah
Kelak kami akan bersaksi
Di hadapan Tuhan Rabbul Jalil
Ini saudara kami yang telah membantu kami
Dalam jihad membebaskan tanah suci
Mereka adalah sekutu kami dalam perjuangan ini
Ya Rabbi
Mereka adalah teman-teman kami dalam syurga abadi
Dengan wajah tunduk malu
Kita menilik diri
Apakah layak
Untuk bersama mereka nanti???
Dengan hanya beberapa ringgit
Yang dihulurkan dengan penuh hemat
(Apakah cukup) Unutuk membebaskan Masjid Al-Aqsa yang dikuasai???
Hafizi Mohd Nor
