Pengenalan
MSM atau Majlis Syura Muslimun merupakan salah satu badan dakwah di United Kingdom dan Ireland. Bermotokan slogan “Membina Syakhsiah Muslim”, MSM beraspirasi membentuk individu Muslim itu menjadi muslim sejati yang sahih ibadahnya, sejahtera akidahnya dan sempurna akhlaknya. MSM mengambil metodologi dakwah yang ditunjukkan Rasullulah s.a.w. dan mengaplikasikannya dalam konteks dakwah semasa. MSM menumpukan usaha dakwah kepada pelajar Muslim Malaysia dan usaha membentuk individu-individu yang soleh (baik) dan Musleh (membaikkan/turut berdakwah).
Objektif MSM
Analogi objektif penubuhan MSM adalah seperti menara isyarat radio yang menjadi perantaraan di antara penyampai dan penerima akhirnya (end receiver). MSM beraspirasi menjadi ’salah satu menara kepada hidayah Allah swt’ untuk disampaikan kepada manusia seluruhnya. Cuma berbanding dengan analogi di atas, apa yang hendak di sampaikan oleh MSM adalah Islam itu sendiri dalam maksud yang sepatutnya difahami dan diamalkan. Daripada manusia-manusia ini, akan dipilih individu yang mahu memikul beban dakwah dan sanggup mengharungi kepayahan dan kesukaran jalan dakwah bagi ditarbiyah. Individu-individu yang telah dibentuk ini pula akan membentuk keluarga muslim yang akhirnya pula bersama-sama mencorak dan mendirikan masyarakat Muslim yang diharap menjadi ‘nukleus’ perubah masyarakat yang akhirnya membawa aspirasi kepada sebuah ciri negara Islam sebagaimana yang digariskan oleh Al-Quran: “Negara yang baik dan Tuhan yang Penyayang” Surah Saba’ : 15
Usaha ini disedari sebagai satu usaha yang panjang dan memakan masa yang lama. Tetapi, inilah sahaja jalan dan manhaj (metodologi) yang ada sebagaimana yang disusuri dari sumber Rabbani yakni sunnah baginda Rasullulah s.a.w. dan dari istinbat (penggalian) kaedah dakwah al-Quran.
Bagi menggembelengkan tenaga ummah yang sudah dibentuk ke arah melahirkan pendokong Islam bagi menerajui dakwah di United Kingdom khususnya dan Malaysia amnya, beberapa objektif telah digariskan. Objektif ini adalah:
- Mendokong cita-cita dan aspirasi Islam.
- Melaksanakan dakwah Islamiah kepada semua lapisan masyarakat amnya dan pelajar-pelajar Malaysia khususnya.
- Menggembeleng tenaga pelajar-pelajar Malaysia dalam membentuk masyarakat pelajar yang cemerlang dan bertanggungjawab
- Mendokong konsep kesatuan berdasarkan prinsip-prinsip Islam memenuhi tuntutan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW.
Asas perjuangan MSM ialah Islam. Begitu juga seruan pertama oleh ahli-ahli MSM yang menyeru manusia kembali kepada ajaran Islam sebenar yang sepatutnya difahami berlandaskan ajaran baginda Rasullulah s.a.w. berdasarkan Al-Quran, hadis sahih dan seerah nabawiyah. Ini berdasarkan kaedah Al-Quran yang menuntut seruan adalah kepada Allah dan meletakkan seruan kepada jamaah sebagai perkara kedua:
“Katakanlah. Inilah jalanku. Serulah kepada Allah dengan hujah yang nyata. Aku dan pengikutku…”
(Surah Yusuf: 108)
Dari kaedah ini, maka setiap usrah, perjumpaan lokaliti mahupun nasional digarap dan dibentuk bagi mencapai tujuan “seruan kepada Allah” ini dan para potensi mad’u (orang yang didakwah) diperkenalkan kepada asas kefahaman Islam sejati supaya diharap menjadi seorang Muslim yang sebenar.
Tarbiyyah MSM
Dalam usaha membentuk individu ini menjadi individu yang benar-benar mantap, MSM mendokong konsep tarbiyyah (pendidikan) yang merangkumi setiap aspek hidup manusia. Melalui konsep yang menyeluruh (syumul), terpelihara dan lengkap ini, MSM menitikberatkan semua sudut tarbiyyah meliputi aspek ruhiyyah (rohani), jasmaniyyah (jasmani) dan `aqliyyah (akal/intelek).
Bidang ruhiyyah bertujuan melahirkan individu yang mempunyai rohani yang bersih dan hati yang sentiasa bertaqwa kepada Penciptanya. Individu ini ingin dibentuk menjadi seperti sahabat Rasullulah s.a.w. yang kukuh iman, akidah dan ibadah mereka. Ini direalisasikan dengan memberikan mereka kesedaran Islam yang sebenar berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang difahami dalam sekitar Usul 20 susunan as Syahid Imam Hasan Al Banna.
Melalui tarbiyyah jasmani, mereka yang terbina melaluinya diharapkan mampu berdaya tahan mengendalikan dirinya dalam masa dugaan dan cabaran mendepani mereka. Ditekankan pemakanan yang sihat, senaman dan aktiviti bersukan yang menyihatkan badan serta aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada pembentukan fizikal individu. Ini mengambil saranan Rasullulah s.a.w. sebagaimana dalam satu hadis: “Mukmin yang kuat adalah lebih dicintai di sisi Allah daripada muslim yang lemah dan pada keduanya ada kelebihan masing-masing”. Ini kerana MSM mengambil realiti bahawa ibadah khusus mahupun umum hanya dapat dilakukan dengan baik dan sesempurna mungkin bila mana jasad tersebut sihat dan kuat.
Tarbiyyah `aqliyyah pula cuba melahirkan individu muslim yang mempunyai pemikiran yang kritis, rasional, malah mampu melihat peranan dirinya dalam seantero perjuangan Islam seluruh dunia. Dengan kata lain, diharapkan mereka yang terhasil melalui pentarbiyyahan ini tidak akan berjuang berdasarkan sentimen, isu atau semangat semata-mata sebaliknya berjaya mengendalikan dirinya selaku penggerak kepada perjuangan Islam. Juga diharap mereka berjuang di atas landasan yang jelas dan berjuang semata-mata kerana Allah s.w.t. dan bukannya kerana pertubuhan, atau ketua atau peribadi-peribadi di dalam jamaah. Juga bukan kerana mengharapkan pujian manusia kerana disedari itu adalah riak yang akan menghapuskan amal mereka. Diharap juga dia akan menjadi seorang muslim yang melihat kepada paksi Islam yang sebenar yang jelas dan pertengahan. Diharap juga dia akan menjadi seorang yang cemerlang dalam bidang masing-masing sama ada undang-undang, kejuruteraan, kedoktoran atau lain-lainnya dan dalam masa yang sama mahir di dalam membentangkan dan mengetengahkan Islam serta membicarakan isu dunia dan mampu membisukan hujah pendokong sistem ciptaan manusia bagi mengembalikan hak Hakimiyah Allah s.w.t. di muka bumi ini.
Aktiviti-aktiviti
Untuk merealisasikan konsep tarbiyah yang dimaksudkan, program-program dan sukatan tarbiyyah MSM telah direkabentuk khas supaya misi yang dibawanya iaitu “Membina Syakhsiyah Muslim” benar-benar akan melahirkan individu Muslim yang boleh berperanan pada bila- bila masa dan dalam semua keadaan. Antara program yang dijalankan adalah, usrah mingguan, qiamulail bulanan secara kumpulan, tamrin berkala, Perhimpunan Musim Sejuk, Summer Training Camp dan Outdoor Camp dan Perhimpunan Musim Bunga. Di samping itu, terdapat juga program-program yang dijalankan mengikut keperluan, kesesuaian lokaliti dan masa. Untuk kanak-kanak dan remaja pula terdapat aktiviti-aktiviti perjumpaan yang menanamakan ajaran Islam dalam peringkat awal kepada mereka. Di antaranya adalah seperti Perhimpunan Tunas Takwa (PTT) dan aktiviti Islamic Nursery pada setiap kali perhimpunan peringkat lokaliti mahupun peringkat nasional MSM.
Organisasi
Dari aspek organisasi pula, sesuai dengan peranannya sebagai gerakan Islam, MSM mempunyai barisan Qiyadah (pimpinan) yang diketuai oleh seorang Ameer yang dipilih di dalam perjumpaan Majlis Perwakilan Nasional (MPN) (setara dengan AGM) yang diadakan pada setiap tahun. Merekalah yang akan menentukan arah perjuangan, pendirian dan polisi MSM. Memahami akan pentingnya peranan dakwah yang besar ini, MSM mempunyai mas’ul (perwakilan) hampir di setiap lokaliti besar di United Kingdom.
Walaupun MSM adalah di antara Jamaah Islam yang terawal ditubuhkan di bumi UK, namun ia berpegang kepada konsep bantu-membantu sesama jemaah Islam yang ada. MSM bukan sahaja tidak menolak malah mengiktiraf kewujudan Jemaah Islam yang lain dan mengakui peranan yang boleh dimainkan ke arah mengajak manusia kepada pengabdian sebenar kepada Allah. MSM mendokong konsep kesatuan melalui kaedah “hormat-menghormati dan mengukuhkan persaudaraan Islam”. Oleh itu adalah menjadi dasar MSM untuk membenteras sebarang bentuk perjuangan dan pendekatan dakwah yang menggunakan fitnah, hasutan dan pengakuan muluk-muluk. Cara pendekatan ini bukan sahaja dibenci oleh Allah malah akan menggagalkan lagi usaha kesatuan ummat Islam yang selama ini dicita-citakan. MSM berpegang kepada konsep ukhuwwah yang sebenar dan mengambil sikap berlapang dada dan memperjuangkan kaedah:
“Berkerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan.”
Logo MSM

Pemahaman terhadap logo Majlis Syura Muslimun (MSM) amatlah penting sebagai asas memahami perjuangan MSM itu sendiri. Logo MSM dapat di bahagikan kepada empat komponen utama.
1. Komponen yang mengandungi peta dunia dan jazirah arab.
2. Komponen jambatan yang mempunyai 7 anak tangga.
3. Komponen tembok batu-bata.
4. Komponen tiga fasa perubahan satu lembaga manusia.
1. Komponen yang mengandungi peta dunia dan jazirah arab.
Arab diletakkan di pusat tengah logo sebagai satu tanda mengingati tanah arab sebagai asal pusat pengembangan awal Islam ke seantario dunia. Ia juga memberikan kita titik fokus kepada perjuangan rasullulah saw yang mengasaskan jamaah Islam pertama yang menjadi sumber perjuangan dan inspirasi MSM. Daripada sini jelas bahawa pentingnya bagi sesuatu gerakan Islam itu menjadikan sunnah rasullulah saw sebagai sebaik contoh panduan bagi segala aspek kehidupan dalam perjalanan untuk melakukan Islah (pembaikan) dan dakwah kepada manusia sejagat. MSM mempunyai cita-cita tinggi beraspirasikan Islam itu didaulatkan semula di dunia sebagaimana pada zaman Ar Rasul saw, khulafah ar rashidin dan empayar Islam sebelum ia tumbang di tangan kuffar pada tahun 1924 dengan empayar terakhir Uthmaniyah berkubur di Turki.
Tetapi, logo ini tidak terhenti setakat tanah arab, malah ianya di tebarkan sehingga mencakupi seluruh kawasan tanah di dunia yang mencerminkan kesejagatan fikrah Islam yang menjadi prinsip yang didokong oleh MSM. MSM juga, daripada kupasan maksud peta dunia ini, mendokong persaudaraan sejagat (Universal brotherhood) bersama mereka yang mendukung fikrah yang sama, yang tidak dibataskan oleh sempadan geografi, bangsa, warna kulit, bahasa mahupun budaya.
2. Komponen jambatan yang mempunyai 7 anak tangga.
Jambatan dan tujuh tangga ini merentasi peta dunia membawa maksud fikrah yang alami (global) yang di bawa oleh MSM yang tidak hanya di bataskan kepada sempadan geografi Malaysia sahaja tetapi di tujukan kepada seluruh dunia amnya. Tetapi MSM memulakan dakwah dengan menumpukan kepada Malaysia sebagai medan bergerak secara praktikalnya. Think globally, act locally merupakan pegangan ahli MSM.
Tujuh anak tangga ini pula membawa pengertian tujuh maratib amal (tertib-tertib amal) yang digagaskan oleh mujadid kurun ke 20, yakni As Syahid Imam Hasan al Banna hasil ijtihad beliau dalam penelitian seerah rasullulah saw. Tertib-tertib ini di dokong oleh dakwah MSM bagi mencapai tujuan membentuk langkah dakwah MSM itu supaya teratur, tidak terburu-buru dan dilakukan dengan tertib dan teliti. Ini dilakukan dengan memastikan setiap tertib tersebut disempurnakan sebelum melangkau melepasi anak tangga seterusnya bagi menjamin usia dakwah ini akan terus berkekalan. MSM menjadikan keutamaan tertib yang pertama dan kedua sebagai batu asas bagi menyediakan para duat yg mampu memikil tanggungjawab dakwah bagi meneruskan perjuangan di dalam masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya.
Tujuh tertib amal tersebut adalah:
i) Pembentukan diri.
ii) Pembentukan keluarga
iii) Pembentukan masyarakat
iv) Membebaskan hukumah (negara) dari penjajahan
v) Mendirikan negara di atas sistem Islam
vi) Membina dan membangunkan kembali sistem khalifah
vii) Menjadi Ustaz kepada alam (World order)
Tertib 1, 2 dan 3 adalah tertib yang akan sentiasa diperbaiki dan cuba untuk dipertingkatkan di dalam organisasi MSM sama ada sebelum atau telah sempurnanya tertib yang seterusnya. Ia bagi memastikan bahawa setiap ahli MSM akan sentiasa menjadi hamba Allah yang meningkatkan diri dan Iman, keluarga dan masyarakat walau dalam keadaan senang atau susah, kaya atau miskin, walau dalam keadaan payah atau mudah.
3. Komponen tembok batu-bata.
Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang berjuang pada jalanNya bersaf-saf
seolah-olah mereka adalah batu-bata yang tersusun kukuh”
(As saf : 2)
Daripada ayat ini, MSM mengambil barisan yang dibina oleh individu2 muslim yang berkualiti bergabung di dalam jamaah Islam dan diikat oleh ukhuwah dan persaudaraan Islam.
Daripada Abu Musa:
Rasullulah saw bersabda:
“Seseorang yang beriman dengan saudaranya yang beriman adalah seperti batu-bata yang menguatkan di antara satu dengan yang lain.” Sedang baginda rasullulah saw berkata demikian, Rasullulah mencantumkan tangannya dengan menselang selikan jari-jarinya.
(Bukhari)
Binaan batu-bata ini pula membawa beberapa kupasan akan aspirasi MSM. Di antaranya:
1. Membentuk insan yang kukuh dari segi ruhnya, akalnya dan jasmaninya. Membentuk manusia yang menjadi rahib yang menangis beribadat pada malam harinya dan askar yang berani pada siang harinya.
2. Dan setiap individu yang kukuh ini di susun dengan tersusun di dalam satu tanzim yang mana setiap individu ini diikat dan dilekatkan oleh ukuwah sebagai perekat bagi menjamin keutuhan binaan tersebut bagi menghadapi musuh dan sebarang serangan luar atau dalaman. Kerana ini juga sistem usrah MSM yang membentuk unit-unit kecil di terapkan dengan 3 rukun utama usrah yakni Taaruf (berkenalan), Tafahum (saling faham memahami) dan Takaful (tolong menolong).
3. Menyedari langkah tujuan yang jauh dan panjang, MSM berpandangan proses pembentukan diri menjadi ‘batu-bata’ yang kukuh lagi mengukuhkan ini adalah penting bagi menjamin nafas panjang diri daie (pendakwah) dan jamaah.
4. Tiga lembaga manusia dengan tiga warna berbeza.
Tiga lembaga manusia yang berpindah dari warna hitam ke kelabu dan kemudian putih menunjukkan moto MSM, Membina Syakhsiah Muslim dan penekanan kepada tarbiyyah dan pembinaan individu dalam program dan aktiviti MSM. MSM ingin menjadi salah satu pemangkin kepada perubahan individu, keluarga dan masyarakat daripada seorang muslim yang kurang baik menjadi muslim yang baik atau daripada seorang muslim yang baik kepada yang lebih baik. Tidak cukup dengan itu, tarbiyah MSM diwujud untuk mempastikan bahawa perubahan ini kekal, si pelakunya beristikamah dan perubahannya meningkat dan bukannya menurun. Akhlak dan iman yang dicontohi dan ingin di capai adalah akhlak dan iman seperti yang di gariskan oleh Al-Quran, baginda Rasullulah saw dan para sahabat baginda.
Bermula di tahun tujuh puluh lima
Hasil usaha beberapa saudara
Bersatu menegakkan tenaga
Bersama bergandingan bahu
Tertubuh Majlis Syura Muslimun
Membina Syakhsiah Muslim dan Muslimah
Berasaskan panduan al-Qur’an dan Sunnah
Tidak ada satu keraguan
Penuh dengan rasa keyakinan
Berterusan maju kehadapan
Chorus
Khilafah Islamiah menjadi impian
Manhaj yang rabbani menjadi landasan
Da`wah dan jihad jadi penghayatan
Berteraskan iman dan pengorbanan
Beramal dengan penuh keikhlasan
Tingkatkan kefahaman amal jihad dan korban
Tetap dan teguh pendirian
Jalin ikatan persaudaraan
Disirami thiqah dan ketaatan
Chorus
Risalah Rasulullah terus disebarkan
Fikrah Islamiah menjadi dokongan
Kesatuan ummah turut jadi tujuan
Syurga Firdaus menjadi idaman
Sambutlah seruan ikhwah dan akhawat
Dengan hati dan jiwa yang penuh bersemangat
Kukuh dan kuatkan keimanan
Rajin dan gigih dalam amalan
Melangkah ke arah kejayaan



assalamua`laikum
sy nk copy gambar dan artikel yg ad dlm laman ustaz nie……hehe sebagai panduan
By: umi alwani munawer on September 20, 2008
at 4:19 pm
salam,
tahniah atas usaha dakwah anda semua.
didoakan supaya berterusan,insyaAllah.
By: abdullah hakim on March 18, 2009
at 12:38 pm